Pages

Tuesday 24 March 2015

Kisah Kejayaan Seorang Budak Pejabat Menjadi Naib Presiden Citibank

Teks: Hamidah Burham


Entri #30

Assalamualaikum adik manis..

Pagi ini saya kongsi kisah teladan hasil pembacaan saya daripada buku "Apabila doa sudah dibaca, Rezekimu Menjadi Murah" oleh Sayyid Ahmad Reza & Wiwi Alawiyah Daud. Saya kongsikan kisah in supaya ia menjadi tauladan dan memberi semangat untuk kita terus berusaha dan terus berdoa untuk mencapai kejayaan, insyaAllah.

Kisah ini menceritakan mengenai seseorang yang luar biasa, beliau ialah Houtman Zainal Ariffin. Seorang
warga Indonesia yang asalnya bekerja sebagai anak jalanan, budak pejabat, penjaja jalanan dan akhirnya menjadi Naib Presiden Citibank di Indonesia. Ia merupakan jawatan tertinggi di Citibank Indonesia kerana Presiden Pengarah Citibank berada di USA.

Sekitar tahun 60-an, beliau telah merantau dari kampung ke bandar Jakarta untuk mencari pekerjaan. Beliau yang hanya lulusan sekolah menengah, hanya mampu bekerja sebagai penjaja jalanan dari jalan raya ke bawah jambatan dan ke lampu merah untuk menjaja jualannya.

Suatu ketika Houtman berehat di bawah jambatan, dia memerhatikan kenderaan mewah menyusuri jalan dan penumpang kereta tersebut berpakaian rapi, kemas dan bertali leher. Houtman mula mengimpikan untuk berpenampilan sebegitu. Beliau bercita-cita tinggi ingin menjadi seorang yang hebat seperti itu.

Dengan azam yang kuat, Houtman mula mengorak langkah dengan menghantar permohonan kerja ke setiap bangunan bertingkat yang di ketahui.

Suatu hari, Houtman telah mendapat panggilan kerja dari sebuah syarikat yang amat terkenal iaitu Citibank. Beliau telah ditawarkan pekerjaan sebagai budak pejabat. Tugasnya membersihkan ruang pejabat, ruang kerja dan ruang lain.

Houtman seorang yang sangat rajin dan secara sukarela membantu pekerja pejabat. Setelah habis bekerja di sebelah petang, Houtman berusaha menambah ilmu dengan bertanya-tanya kepada para pegawai. Beliau bertanya-tanya kepada para pegawai. Dia bertanya mengenai istilah bank yang rumit, walaupun kadangkala beliau menjadi bahan ketawa atau staf mengerutkan dahi. Sedikit demi sedikit, Houtman tahu mengenai istilah Letter of Credit, Bank Guarantee, Transfer, Clearing dan sebagainya.

Suatu hari Houtman terpegun dengan sebuah mesin penyalin dokumen atau mesin fotostat. Pada masa itu, mesin fotostat amatlah jarang ditemui, hanya syarikat-syarikat tertentu sahaja yang memiliki mesin tersebut. Setiap kali habis waktu bekerja, beliau seringkali ke mesin tersebut dan bertanya kepada staff cara mengendalikannya.  Dia meminta staf mengajarnya. Akhirnya Houtman mahir mengendalikan mesin fotostat. Suatu hari petugas mesin fotostat mengahdapi masalah, secara praktikalnya, hanya Houtman yang dapat menggantikannya. Sejak itu, Houtman dinaikkan pangkat dari budak pejabat kepada petugas fotostat.

Walaupun itu suatu kejayaan baginya, namun Houtman masih belum puas menimba ilmu. Di waktu lapangnya, beliau sering bertanya-tanya dan membantu staf lain. Pada suatu hari, Houtman terpegun melihat salah seorang staf mempunyai selonggok tugas di mejanya. Houtman pun menawarkan bantuan kepada staf tersebut. Pada mulanya staf tersebut teragak-agak untuk memberi tugasan tersebut kepadanya kerana jika tersilap beliau yang akan dipertanggungjawabkan dan beliau boleh di pecat. Namun Houtman sedia membantu dengan penuh tanggungjawab. Beliau memerlukan masa berjam-jam untuk menyelesaikan tugas  tersebut kerana tugas tersebut memerlukan ketelitian dimana cop perlu berada di dalam ruang dan tidak boleh keluar dari ruang atau silap. Namun Houtman seorang yang bijak, beliau bukan sahaja cop dokumen, malah beliau baca setiap dokumen yang hendak di cop. Akhirnya beliau memahami berbagai istilah dan teknikal perbankan.

Oleh kerana Houtman dapat menguasai pekerjaannya dengan baik dan ringan tulang, para staf tidak segan berkongsi ilmu dengannya. Sehingga suatu masa, pejabatnya melantik beliau sebagai pegawai kerana prestasi dan kemampuan yang dimilikinya.

Namun begitu, Houtman sering juga menjadi bahan cebikan dan kontroversi kerana perlantikan beliau sebagai pegawai bank adalah suatu yang mustahil kerana tidak konsisten menjalankan tugasnya. Houtman tidak patah semangat dengan cebikan daripada rakan-rakan sekerjanya. Houtman tidak pernah lama memegang sesuatu jawatan. Houtman sentiasa mencuba cabaran dan tugas baru. Kerjayanya melonjak naik selama 19 tahun bekerja sehingga jawatan tertingginya sebagai Naib Presiden Citibank Indonesia.

Ketika ditanya mengenai rahsia kejayaannya, Jawapannya ialah beliau tidak pernah berhenti untuk belajar. Rasa ingin tahunya yang tinggi membuatkan beliau sentiasa bertanya dan berusaha untuk benar-benar memahaminya.

Menurutnya ketekunan dan restu serta doa ibu bapanya menjadi kunci kejayaan dalam hidupnya. Baginya doa kedua ibu bapanya menjadi pengubah nasib seseorang. Hanya dengan keikhlasan doa ibu bapanya yang telah menjadikan Allah S.W.T mengubah nasibnya menjadi lebih baik.

Sungguh saya terinspirsi dengan kisah Houman Zainal Arifin ini. Moga kisah ini juga menjadi sumber inspirasi kepada anda di luar sana. Ingatlah bahawa kemiskinan bukan untuk diwarisi. Usaha, doa, istiqomah dan tawakkal menjadi kunci.

Wallahua'lam





No comments:

Post a Comment