Pages

Tuesday, 3 March 2015

Ceritera Kehidupan Saya

Entry 1

Teks: Hamidah Burham
Foto: Simpanan peribadi

Biamillahirrahmanirrahim..

Sebagai pembuka kata untuk blog saya ini, saya ingin memulakan entri pertama saya dengan menceritakan serba sedikit mengenai diri saya, supaya kita dapat mengenali antara satu sama lain dan merapatkan lagi sillaturrahim antara kita.
Nama penuh saya mengikut I/C ialah Hamidah binti Burham. Dari sekolah rendah sampai bekerja, orang asyik tersalah tulis atau tersalah panggil nama ayah saya. Mungkin pendaftaran masa zaman dulu, hanya sebut nama anak dan pekerja di pejabat pendaftaran yang akan menulis. Mungkin ada kesilapan masa itu. Tetapi sebenarnya nama Burhan yang ada makna dalam bahasa arab (bukti/dalil/cahaya). Nama Hamidah pula bermaksud yang terpuji. Arwah atuk saya yang telah memberikan nama yang indah ini. 

Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Telok Gadong, Klang, Selangor Darul Ehsan. Setelah tamat sekolah rendah, saya melangkah ke alam remaja dengan bersekolah di Sekolah Menengah Agama Hishamuddin Sungai Bertih, Klang, Selangor. Saya telah mengambil aliran ekonomi dan bahasa arab. Di sekolah tersebut tidak disediakan aliran ][]\sains tulen. Oleh kerana saya lebih berminat untuk belajar sains dan matematik, saya telah memasuki matrikulasi peralihan sastera-sains, UKM-PTPL, selepas menamatkan sijil SPM. Kursus yang ditawarkan selama 2 tahun. Alhamdulillah saya telah berjaya memasuki UKM dan mengambil jurusan oleokimia. Ramai yang tidak tahu apakah bidang oleokimia ni. Bunyi pun macam pelik sahaja. Secara ringkasnya, oleokimia ialah bidang sains kimia yang berkaitan dengan minyak selain petroleum. Bidang ini merangkumi pembuatan minyak masak, pembuatan produk-produk hasilan minyak seperti sabun, majerin, alat kosmetik dan alat mandian, serta pelbagai minyak herba dan aromaterapi. Alhamdulillah banyak ilmu saians dalam kehidupan yang telah saya pelajari di sini. Setelah 3 tahun bertungkus lumus mencapai impian di menara gading, akhirnya saya telah bergelar graduan pada Ogos 2003 dengan kepujian kelas kedua atas BSc Oleochemistry.

Seletah menamatkan semester akhir di UKM, saya mula mencari pekerjaan, sementara menunggu keputusan peperiksaan akhir semester dan mendapat ijazah. Susah juga nak mencari kerja ketika itu. Apa yang saya lakukan, saya telah pergi ke agensi mencari pekerjaan di Klang dan mendapatkan khidmat mereka. Alhamdulillah dapat juga kerja sementara sebagai kerani akaun di Sinaran Nalim Sdn Bhd, sebuah syarikat perkapalan. Saya bekerja untuk dapatkan pengalaman dan suasana bekerja sebenar. Banyak juga pengalaman yang saya perolehi semasa 6 bulan bekerja disitu. Selepas tamat kontrak, saya telah mendapat tawaran bekerja di SIRIM Berhad sebagai penyelidik kontrak. Saya telah ditempatkan di bahagian Research & Development (R&D) di unit bioproses. Di unit bioproses, saya telah menjalankan penyelidikan yang berkaitan dengan penghasilan bahan mentah kosmetik dan juga vitamin. Selain itu, saya juga telah mengendalikan ujian keselamatan terhadap barangan kosmetik dan barangan penggunaan yang lain. Pelbagai pengalaman suka duka dilalui disini. Daripada pekerja berstatus kontrak kepada berstatus tetap, daripada belum berkahwin sampai lah saya mempunyai anak 2 orang. Semasa saya dikurniakan anak kedua, Adib bin Mohd Fauzi, saya telah diuji dengan Adib yang kerap sakit dan memerlukan saya mengambil cuti tahunan yang kerap, sehingga terksa mengambil cuti separuh gaji selama setengah bulan. Ketika inilah saya mula memikirkan untuk berhenti kerja dan menjaga anak sepenuh masa di rumah. Namun saya masih belum benar-benar bertekad untuk meletakkan jawatan. Setahun selepas itu saya telah diberi rezeki oleh Allah dengan disahkan mengandung cahaya mata ketiga pula. Ketika inilah saya mula memikirkan untuk menjadi WAHM memandangkan saya perlu mennguruskan anak sulung, Adam bin Mohd Fauzi yang masih bersekolah, menguruskan Adib yang sering sakit dan akan menguruskan baby yang bakal lahir. Suami saya pula tidak dapat banyak membantu kerana kedudukan tempat bekerja yang jauh dari rumah dan kerap kerja luar kawasan. Allah maha mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hambanya. Seperti dirancang pula, ketika dilema berhenti kerja melanda, suami saya telah mendapat tawaran untuk bekerja di Kuching, Sarawak pula. Maka dengan berlapang dada, saya telah meletakkan jawatan pada November 2011. Dan bermulalah kehidupan saya sebagai WAHM di bumi kenyalang bersama suami Mohd Fauzi bin Abd Dzubir, beserta 3 cahaya mata Adam bin Mohd Fauzi, Adib bin Mohd Fauzi dan Asha binti Mohd Fauzi.

Menyentuh tentang minat dan hobi saya pula, sejak kecil saya telah menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang seni samada lukisan atau jahitan. Saya mula memasuki pertandingan melukis di sekolah rendah dan menengah. Saya juga telah menjahit sulam tangan sejak berumur 10 tahun. Semasa bekerja pada tahun 2006, saya telah berjinak- jinak dengan seni jahitan manik. Saya telah menghadiri beberapa kelas jahitan manik di Shah Alam, Selangor. Saya juga telah mengambil tempahan menjahit manik secara sambilan. Alhamdulillah hasil jahitan manik saya telah memasuki majalah Rapi. Kini saya telah membuka peluang kepada anda yang ingin mempelajari teknik jahitan manik untuk menhadiri kelas jahitan manik bersama saya.


Oleh kerana saya juga minat dalam bidang solekan, saya telah mengambil kursus solekan di butik Rias Mazmiera, Shah Alam pada awal tahun 2011. Kini saya mengambil tempahan solekan untuk pelbagai majlis.


Semenjak saya dikurniakan seorang puteri ini, Asha binti Mohd Fauzi, saya mula terpanggil untuk menjahit baju anak saya sendiri. Saya terkenagkan bagaimana emak saya menjahit baju saya ketika saya kecil, saya rasa gembira dan seakan satu memori yang tidak dapat saya lupakan. Saya juga ingin puteri saya merasa perkara yang sama bila dia besar nanti. Tapi sebenarnya saya ingat-ingat lupa cara menjahit baju,huhu. Kebetulan emak datang ke rumah bulan lepas, dapatlah mohon tunjuk ajar cara menjahit baju.

Sebenarnya semasa saya tamat SPM, emak saya telah menyuruh saya mengambil kursus menjahit baju. Ketika itu, hati belum terbuka untuk mendalami ilmu jahitan, tetapi saya lakukan juga demi emak. Alhamdulillah ianya berguna juga walaupun setelah 15tahun saya tidak menggunakannya. Kini saya benar-benar mahu mendalami ilmu jahitan baju ni. Barulah sibuk cari di google dan nota-nota lama saya hihi.

Inilah hasil jahitan saya..





   Daripada hobi dan minat, saya telah mula berkecimpung dalam dunia perniagaan pula. Ia bermula sejak mengambil upah menjahit manik pada tahun 2006. Pada masa itu ramai jiran-jiran dan kawan-kawan serta saudara mara menghantar baju untuk tempahan jahitan manik. Hingga ada butik pengantin yang menggunakan khidmat jahitan manik daripada saya. Masa itu baru rasa seronok berbisnes. Tetapi aktiviti menjahit manik terpaksa saya perlahankan disebabkan saya tidak boleh menjahit manik sepanjang mengandung anak ketiga. Orang kata bawaan budak, tapi tak tahulah sebab saya rasa pening dan nak muntah bila jahit manik,huhu. Bila Asha lahir, saya mula menjahit manik semula, tetapi bila Asha semakin membesar, dia dah pandai mengutip manik dan makan. Aduhai...maka saya hentikannya buat seketika. Buat masa ini saya hanya buka kelas kepada sesiapa yang ingin belajar menjahit manik. Tidak rugi belajar menjahit, jimat dan puas hati. Sekarang saya sedang mulakan perniagaan menjahit pakaian kanak-kanak seperti baju kurung, gaun dan telekong. Jika anda berminat dengan pakaian kanak-kanak untuk anak-anak anda, anda boleh hubungi saya di talian 0163385790.

Sejak menjadi WAHM, barulah saya dapat meluangkan masa membaca buku-buku kegemaran saya. Buku yang menjadi peneman saya dirumah ialah buku-buku tokoh korporat dan usahawan berjaya seperti Donald Trump, Syed Mokhtar Al-Bukhari dan Azizi Ali. Disamping itu saya juga suka membaca buku-buku motivasi daripada Prof Muhaya dan en Zuhairi Nopiah.
kini saya sedang mempelajari teknik penulisan blog bersama ABDR bersama Cikgu Anys Idayu Zakaria. Blog saya sebelum menyertai kelas penulisan blog ialah  http://www.sentuhanmidzcouture.blogspot.com
Fanpage saya ialah http://www.facebook.com./midzcouture


  
Matlamat saya menyertai kelas penulisan blog bersama ABDR ini ialah saya ingin menjadikan blog saya sebagai satu blog rujukan ramai dalam bidang jahitan serta dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Saya juga ingin meluaskan perniagaan saya melalui rangkaian bloggers dan pautan-pautan yang dapat membantu menaikkan traffic blog saya.

 Itu  sahaja serba sedikit mengenai diri saya. Untuk entri yang seterusnya, insyaAllah saya akan kongsikan tips, tutorial, dan juga info-info menarik tentang dunia jahitan dan seni kraft. 

Sekian..Wallahua'lam...

Nukilan rasa: Hamidah Burham

10 comments:

  1. selamat berkenalan juga sis Kuazue Mohd.. terima kasih sudi berkenalan dengan saya. InsyaAllah saya akan buat kunjungan balas ya. moga ukhwah kekal terjalin.

    ReplyDelete
  2. Replies
    1. salam kenalan juga nurima suriani..

      Delete
  3. Replies
    1. Oh yeah...ABDR (Akademi Bekerja Di Rumah)

      Delete
  4. Salam perkenalan.

    Oleokimia! Kita satu geng! :)

    ReplyDelete
  5. salam kenalan juga Siti Rahimah...

    ReplyDelete