Pages

Wednesday, 4 March 2015

Tips Jahitan Manik: Keperluan Asas Jahitan Manik

Teks: Hamidah binti Burham
Foto: Simpanan peribadi

Entri 2

Assalamualaikum Adik Manis...

Sedar tak sedar, lagi 3 bulan lebih umat Islam akan menjalankan ibadah puasa. Maka Hari Raya pun akan menjelma tak lama lagi kan? pelbagai persiapan untuk hari raya perlu diambil kira. Apatah lagi, bulan April 2015, pelaksanaan GST akan mula berkuat kuasa. Harga sesetengah barangan keperluan hari raya juga meningkat terutamanya baju raya. Baju raya pula mestilah nak yang cantik kan..kalau ada manik lip-lip lip-lap lagi nampak bergaya.. macam baju yang saya jahit ni..


Tetapi perlu diingat..pakian dan manik serta aksesori pakaian dikenakan cukai GST, pasti harga pun akan meningkat. Oleh itu marilah kita mengambil langkah berjimat cermat dalam membuat persiapan menyambut lebaran nanti.

Disini saya ingin berkongsi tips untuk menjimatkan perbelanjaan persiapan hari raya dengan menghias pakaian anda dan anak-anak dengan jahitan manik. Tetapi sebelum menjahit manik, kita perlu tahu serba sedikit tentang manik dan bahan-bahan keperluan untuk menjahit manik.


Berikut adalah keperluan asas jahitan manik yang anda perlu sediakan:

1) Jarum jahit tangan.

Pilih jarum yang halus dan panjang. Biasanya saya guna jarum saiz 12. Jangan beli jarum yang bercampur-campur saiz dalam satu kotak ya. Jarum tersebut biasanya pendek dan kasar. Lubang manik yang halus memerlukan jarum yang cukup halus suapaya manik boleh melepasi jarum dengan mudah sekali.

2) Benang

Benang yang saya gunakan adalah benang kapas yang biasa digunakan untuk menjahit baju, kerana ia lebih murah. Tetapi anda perlu merangkap 2 atau merangkat 4 atau 6 jika anda menjahit manik mutiara yang bersaiz besar. Ini bertujuan untuk memastikan jahitan manik lebih utuh dan kuat walaupun dibasuh berulang kali. Jika anda ingin jahitan lebih cantik dan kuat, anda juga boleh memilih benang nylon khas untuk jahitan manik. Ia lebih kuat dan tidak perlu dirangkap. Namun begitu harganya lebih mahal dari benang kapas.

3) Manik/Labuci

Pemilihan manik adalah penting untuk memastikan hasil jahitan manik cantik dan warna tidak mudah luntur.Manik terdapat pelbagai jenis dan kualiti. Manik yang murah sekitar RM1.50/10g biasanya adalah dari jenis plastik dan mudah luntur serta kilauannya tidak tahan lama. Manakala manik glass adalah pilihan terbaik kerana harga nya yang mampu milik dan kilauannya tahan lebih lama. Biasanya manik glas adalah dari Jepun sebab itu ia dipanggil manik Jepun. terdapat pelbagai jenama manik Jepun dipasaran, antaranya Matsuno MGB, Apple beads dan Miyuki. Anda juga boleh memilih manik yang lebih mahal seperti manik crystal dan acrylic. Ianya lebih berkilau dan tahan lebih lama walaupun dibasuh berkali-kali. Petua nak tahu manik itu jenis glas atau plastik ialah dengan menggigit sebiji  manik tersebut, Kita boleh merasa samada ia glas atau plastik. Manik pula terdapat dalam pelbagai bentuk. Ada yang bulat, silinder dan heksagon.

Sepanjang pengalaman saya menjahit manik sejak 2006, saya dapati, manik jenis bulat lebih tahan lama berbanding manik silinder, malah ia lebih halus dan tidak mudah pecah. Namun begitu, manik silinder lebih berkilau dan warnanya lebih terang berbanding manik bulat kerana manik silinder yang beberntuk heksagon menyerakkan cayaha lebih banyak berbanding manik bulat. Oleh itu, untuk mendapatkan hasil jahitan yang menarik dan cantik, gabungan manik bulat dan manik silinder atau heksagon adalah amat disarankan.

Manakala Labuci pula memang cantik dan berbagai warna menarik boleh dipilih. Tetapi anda perlu berhati-hati memilih labuci kerana kebanyakan labuci mudah luntur warna. Saya lebih suka memilih labuci yang bersaiz leper dan kecil. atau jenis berwarna natural seperti warna putih kristal atau warna-warna pastel. warna-warna ini jika luntur sekalipun, tidak begitu menjejaskan keindahan hasil jahitan kita.

4) Gunting kacip

Gunting kacip adalah lebih kecil dan ia lebih cepat, mudah dan selamat digunakan untuk memotong benang pada baju dan manik. Jika anda menggunakan gunting yang besar, dikhuatiri anda akan tergunting baju kerana menjahit manik mmerlukan anda memotong benang dengan kerap bergantung kepada rekaan corak manik yang anda jahit.

5) Bekas jahitan manik
Biasanya saya gunakan mangkuk leper supaya mudah untuk saya mengambil manik secara rawak dan cepat. Anda tidak perlu untuk memasukkan manik sebiji demi sebiji kedalam jarum. Anda hanya perlu sodok jarum ke dalam timbunan manik seolah-olah memancing ikan. Jika kena gayanya, manik akan masuk ke dalam jarum dengan sendirinya. Dengan syarat manik perlu banyak di dalam bekas tersebut, lebih kurang 50-100g.
Anda perlukan beberapa mangkuk untuk mengisi pelbagai warna yang anda perlukan.

6) Bekas stok manik

Bekas manik sangat penting untuk memastikan manik anda tidak bersepah dan tersusun mengikut kod dan warna. Ia juga memudahkan anda untuk memilih warna manik untuk rekaan corak manik baju anda. bekas yang saya gunakan ialah bekas dadih yang keccil. Ia lebih murah dan lutcahaya.

Ok itu sahaja tips keperluan asas jahitan manik daripada saya. Jika anda ada tips yang lain, bolehlah berkongsi diruangan ini untuk kita menambah ilmu dan memberi manfaat kepada yang lain.

Jika anda ingin belajar menjahit manik atau menempah jahitan manik anda boleh hubungi saya di talian 0163385790.


i

No comments:

Post a Comment